17 December 2012

Dulu Kini

Assalamualaikum,


Dulu, segala-galanya indah,
Ibarat bunga mekar menari riang ditiup bayu lembut
Dulu, segalanya tidak rumit,
Ibarat jalan lurus tidak berliku.
Dulu, harapannya melegakan,
Ibarat minum kopi kala hujan, ahhh.

Kini segalanya malap,
Ibarat ruang kamar tanpa sumbu api.
Kini segalanya berliku,
Ibarat jalan simpang siur, berselerak.
Kini segalanya punah,
Ibarat hati yang dicucuk dengan pisau belati.


Dulu dan kini, tidak mungkin sama.
Seiring beredarnya waktu, seiring itu juga kita berubah.
Hati kita, mahu kita, harapan kita.

Terus, seluruh individu itu berubah.
Dalam satu saat dia begini, saat keduanya dia berubah.

Jangan ditanya mengapa berubah.
Barangkali akan terima jawapan yang baik/buruk.
Itu dirinya saja yang tahu.
Kita doakan saja yang terbaik.

Love.

13 December 2012

Usah diragui

Assalamualaikum,


Jangan ditanya mengapa kita tidak mendapat apa kita mahu
Jangan dikeluh mengapa ia lewat hadir
Jangan dipersoal mengapa orang lain menerima yang indah belaka.


Tetapi...

Tanya pada diri, adakah usaha anda mencukupi?
Soal pada diri, sudahkah diperbaiki kekurangan?
Fikir semula, di manakah kurangnya untuk menutup ruang kosong itu?

Sesungguhnya, janganlah mengeluh
Ingatlah dan tanam dalam diri,
Allah tidak beri apa yang kita mahu tetapi apa yang kita perlu.

Tilik kembali, mengapa ianya lambat diterima?
Duduk sejenak dan fikir dalam sehari apa kita lakukan?
Bersabarlah, banyak ganjarannya bagi mereka yang bersabar.
Nikmatnya juga lebih enak dan indah.

Perlu diingatkan, jangan pernah lupa atas apa yang diterima.
Sentiasa bersyukur, bersyukur dan bersyukur.

Lovebug.

P/S: seperti gambar pancaran kilat di atas, malamnya hujan, esoknya cerah.
Kita tidak pasti apa akan berlaku esoknya.

23 November 2012

Bantu PALESTIN

Assalamualaikum,


Seperti kalian lihat gambar di atas ini, marilah sama-sama kita membantu.
Walau ia hanya kecil pada kita, buat mereka ia besar nikmatnya.

Anak-anak kecil luka berdarah, hilang ibu bapa.
Hilangan saudara mara.
Musnahnya tempat berteduh, rumah ilmu..
Hancurnya segala apa yang ada.

Hari ini begitu perit dilalui.
Sama seperti hari-hari sebelum ini.
Menunggu esok hari untuk reda, ahh tiada kepastian lagi.

Mereka terus bangkit, mereka terus mara.
Mempertahankan negara mereka.
Dengan harapan mereka mencapai kemenangan.

Kita di sini membantu dari jauh.
Mendengar, melihat dari jauh.
Menyalurkan apa terdaya.

Marilah kita panjatkan doa kepada Allah SWT.
Memberkati semua umat Islam, semua mangsa tidak kira
di Palestine atau mana tempat sekalipun.
Lindungilah, kuatkanlah mereka.

Love.

20 November 2012

Pertemuan

Assalamualaikum,


Satu pertemuan jika itu yang telah diaturkan, maka terjadilah ia.
Tidak kira di manakah lokasinya, bilakah waktu dan tarikhnya.
Ia boleh berlaku tanpa kita sedari.

Pertemuan di warung.
Pertemuan dikala melakukan pembayaran.
Pertemuan secara maya.
Pelbagai situasi boleh berlaku.

Kita mungkin berada bersebelahan dengan orang yang tidak kita kenali.
Memandang satu sama lain, senyum tanda berhemah.
Kita tidak menjangka, satu pertemuan itulah satu permulaan.

Permulaan ke arah terbit persahabatan, percintaan, perkahwinan dan keuntungan.
Berjumpa dengan orang baru, kisahnya dan caranya juga baru.
Dan aku pasti kalian juga punya kisah menarik, kan?

Love.

P/S: Boleh kongsi bagaiman kalian bertemu dengan
mereka yang terpenting dalam hidup kalian?

16 November 2012

Tiada yang pasti

Assalamualaikum,


Ahh, awan mendung gelap ini sama seperti apa bermain dalam fikiranku.
Telahan aku, adakah ia akan mencerah ditemani cahaya sang suria?
Atau adakah ia akan menjalankan tanggungjawabnya membasahi Bumi?

Wallahualam.

Sama juga seperti dalam hidup kita.
Tiada yang pasti melainkan hanya Dia yang lebih mengetahui.
Semuanya boleh berlaku dalam sekelip mata.
Jika itu kehendakNya, maka terjadilah.

Love.

P/S: Moga kalian diberkati dan jauh dari malapetaka. Amin Ya Rabb.

05 November 2012

Cuba

Assalamualaikum,



"Lebih mudah mengungkap daripada melakukannya."

Pernah dengar dan baca bukan?

Apabila seseorang berada dalam keadaan yang sukar,
ayat inilah sering dikeluarkan.

Tidak dinafikan, aku juga mengungkapnya.

Tetapi kita boleh cuba.

Sentiasa boleh mencuba
an tiada siapa boleh menghalang kita dari mencubanya.

Orang yang hanya boleh menghentikan anda dari mencuba adalah
diri anda sendiri.

Berilah masa, jangan memaksa, perlahan-lahan hadapinya.

Mungkin kita perlu lihat pada sudut yang berbeza.
Dan barulah kita boleh mengubahnya.

Love.

01 November 2012

Memang begitu

Assalamualaikum,


Menghilang sesuka hati,
tetapi kenangan indah/perit ditinggalkan.

Datang apabila mahu,
tetapi tahukah, benci apabila begitu.

Kata-kata dicurahkan,
tetapi bermaksud segalanya itu?

Hasrat dinyatakan
tetapi adakah ia akan dilengkapinya?

Jauh bergembira, bergurau sana sini,
tetapi meninggalkan duka di hati lain.

Alangkah indahnya jika masing-masing memahami.
Alangkah baiknya jika masing-masing bertolak ansur.
Alangkah manisnya jika masing-masing ikhlas.

Semua orang berbeza keinginan mahupun kemahuan.
Semua orang berubah.
Semua orang mempunyai agenda tertentu.

Itulah lumrahnya.

Love.

P/S: itu bukanlah aku.
Buat mereka yang patah hati, cantumkan hati semula.

24 October 2012

Sensitif

Assalamualaikum.

Picture by: LoveBug

Aku pasti setiap orang ada rasa sensitifnya.
Tidak kira tentang apa, pasti akan ada terkesan di hati.
Melalui kata-kata, perbuatan atau apa saja.

'Eh gemuknya!', 'Eh cicak kobeng!', Eh gedik!' 'Eh Jongang'
Eh, buruknya baju kau' Eh itu, Eh ini'.

Ayat sependek itu sangat sensitif pada sesetengah orang.
Ya, pada mereka ia mungkin satu gurauan.
Pada yang lain, ia satu ejekan yang menusuk.

Sebelum kamu mahu 'Eh itu ini-kan' orang,
cuba letak diri kamu dalam situasi orang itu.
Ataupun orang terdekat kamu diperlakukan begitu.
Apa rasa kamu?

Ingatlah, bagaimana kita sensitif pada sesuatu,
jika seseorang melakukannya seperti apa kamu benci diperlakukan,
keadaannya sama juga, kan?

Bertimbang rasalah.
Jangan kamu lakukan kerana berasa seronok menyeksa jiwa orang.
Kelak suatu hari nanti jiwa kamu pulak akan diseksa orang.

Sensitif juga maknanya seseorang itu peka pada sesuatu.
Makna kata, perasaan seseorang itu.
Dia sedih, gembira, merajuk, marah atau apa saja.

P/S: Orang kata, Virgo ini sensitif dalam mengetahui perasaan orang.

15 October 2012

Kesempatan

Assalamualaikum,



Semuanya bersebab dalam sesuatu perkara.
Niat masing-masing, itu terletak pada empunya diri.
Ikhlas? Terpaksa? Atau apa?

Tanyalah pada hati, apa tujuannya.
Tidak kiralah dalam apa segi.
Tidak kiralah dalam apa cara sekali pun.

***
Ada orang berkawan hanya melihat pada apa yang
boleh membawa kepentingan padanya.
Sesuatu yang dapat memudahkan dirinya.
Sesuatu yang dapat menambahkan tawa riangnya.

Kadangkala pernah tidak rasa diri diperguna?
Kadangkala pernah tidak rasa diri bodoh tidak sedar akan itu terjadi?
Kadangkala pernah rasa haruskah jauhkan diri?

Toleransi itu perlu ada.
Jangan ada sifat penting diri.
Jangan ada rasa cemburu.
Jangan ada rasa mengambil kesempatan!

Love.

'Janganlah menjadi duri tajam seperti pada ros,
tetapi jadilah kuntuman mekar wangi ros yang sentiasa mengharumkan hubungan.'
-Lovebug-

P/S: Tanyalah pada diri sendiri.


03 October 2012

it never end

Assalamualaikum,



Ada sesuatu yang buatkan kalian terus berjuang.
Untuk diri sendiri, keluarga, anak dan teristimewa.
Ada juga yang terus hidup dengan kenangan lalu.
Menggenggam rapat sedikit tidak terbuka.

Walaupun kenangan itu hanya sebentar cuma,
itulah yang beri kalian kekuatan.
Kalian bernafas dengan kenangan itu.
Kalian meniti hari tua bersama kenangan itu.

Prinsip orang ada yang:
Kenangan lalu tidak perlu diimbas
Kenangan lalu tiada apa erti
Kenangan lalu sarat dengan duka.

Pada aku, kenangan itu satu yang indah.
Baik atau buruk,
menangis atau senyum,
ia tetap satu peritiwa tidak terduga pernah berlaku dalam hidup

Boleh jika mahu pandang kedepan
tapinya, toleh juga kebelakang.
mana tahu dibelakang itu punca kekuatan kalian.

Love.

P/S: kenangan adalah kenangan,
tetapi kenangan itulah penguat diri.

29 September 2012

Bertanya

Assalamualaikum,



Bertanya bukan bermakna kita memaksa.
Bertanya bukan bermakna tidak tahu.
Bertanya bukan bermakna kita tahu.
Bertanya bukan bermakna kita tahu apa tersirat dalam hati.

Ianya untuk kepastian.
Ya, tidak, angguk, geleng, jungkit bahu.
Kita perlukan jawapan.
Jawapan pada satu soalan khusus pada yang bertanya.

Tidak kiralah jawapan itu menyakitkan.
Tetapi,
lebih menyakitkan hati jika bertanya tetapi diam kelu.

Love.

P/S: jawapan perlu ada. carilah jika ia masih tidak berjawab.

23 September 2012

Usaha

Assalamualaikum,


Perasaan itu, satu butiran lazim.
Semua orang berkejar-kejaran mahukannya.
Ada yang meletakkan pada masa.

Sedang gigih berlari, ada yang terus maju hingga ke tali merah.
Ada yang tertinggal di belakang jauh dari yang lain.
Melihat yang menang semakin mengecil.

Pabila mendapatnya, ada yang mensia-siakannya.
Ada yang menduakan, sambil lewa.
Erti kata lain, tidak menghargai.

Yang tertinggal jauh, dalam hati sarat mahu ke penamat.
Hanya melihat dari jauh saat difikirkan masa telah cukup.
Berhenti, duduk dan termangu.

Orang yang tertinggal ini, menghargai.
Menjaga sebaiknya seperti mana rasanya payah mahu ke penghujung.
Penuh rasa kasih dan sayang.

Bersabarlah sayang.
Walau waktu itu kamu tidak ke penamat, tapi kamu mencuba.
Biar mencuba dan tahu peritnya bagaimana,
dari berjaya tetapi tidak merasai detik payah itu.

"Falling in love was simple, one had only to yield.
Digesting another person, however, and sustaining love,
was a bloody work, and not a soft job."
-Hanif Kureishi-

Love.

P/S: ini bukan untuk soal cinta saja. kembangkan.

17 September 2012

Buih gundah

Assalamualaikum,


Zaman dulu, kita punya pengalaman ini.
Ya, bermain buih sabun.
Saat ia menghilang kita mahukannya.
Ketika itu, senyum girang ternampak gigi putih.

Aku mengibaratkan buih itu seperti rasa gundah.
Setiap satu buih itu aku terapkan rasa gundah, lelah.
Aku tiup kemudian lama-lama ia hilang.
Dengan sekali hembusan berterbangan buih diudara.

Aku melihat dengan penuh perihatin.
Dengan penuh minat agar setiap gundah aku pergi bersamanya.
Kebudak-budakan, ya aku tahu.
Tetapi itu yang membuatkan aku gembira.

Moga jauh gundah aku pergi saat buih menghilang.

Love.

P/S: harap baik saja buat kalian.

12 September 2012

Memahamikah kamu?


Assalamualaikum,

Aku mahu bertanya memahamikah kalian?
Ya, memahami dari segi perhubungan atau situasi.

Memahami dan tidak pernah lalui situasi itu, ada bedanya.
Memahami dan pernah lalui situasi itu, rasanya lebih.
Apabila temanmu bercerita, Ya, aku memahaminya.

Adakah kamu berkata memahami hanya untuk
menghilangkan rasa gundah, hibanya?
Atau kamu benar-benar pernah mengalaminya?

Dalam perhubungan, kamu dan pasangan,
masing-masing memahami?
Atau adakah salah seorang saja yang memahami?

Jika sebelah pihak saja yang merasai begitu, apa kamu rasa?
Lelah, melemaskan, atau apa saja perasaan?

P/S: susah begini.

08 September 2012

Terlalu banyak


Assalamualaikum,

Lama rasanya meninggalkan dunia berkarya.

Sibuk dengan kerja dan urusan lain.

Untuk menjadi seperti masa lalu, tidak mungkin.

Banyak lagi kepentingan lain perlu dipenuhi.

Tetapi kini cuba untuk kembali berkarya.

Walaupun hanya gambar ulangan guna,

tetapi maknanya boleh ditafsir pelbagai.

Kadang kala tidak punya waktu untuk diri sendiri.

Tetapi kini akan usaha untuk meluangkannya.

Merasakan masa tidak mencukupi?

Cukup setakat ini.

Love.

13 August 2012

Ingat diri


Assalamualaikum,

Dia duduk dibangku panjang.
Bertemankan dua mata tiruan usang.
Merelakan titisan peluh mengalir perlahan.
Dihiasi corekan hitam diwajahnya.
Merehatkan sekujur tubuhnya.

Dia mengarahkan pandangannya melihat lalu lalang manusia.
Terkejar sana sini seperti masa mahu menelan.
Matanya terhenti pada satu tubuh segak merenungnya.
Tersenyum megah terus hilang senyumannya.

Orang itu sangat dikenalinya.
Cemerlang, hebat, luar biasa cara kerjanya.
Suatu masa terlalu asyik.
Hingga lupa diri mahupun orang sekitarnya.

Ya, orang itu. Kini duduk dibangku panjang.

Love.

P/S: jangan mudah lupa diri apabila sudah berjaya.

06 August 2012

Cinta itu membunuhku


Assalamualaikum,

Bicara soal cinta, seperti angin tidak putus menghembus wajah.
Ia tidak pernah berhenti dipersoalkan.
Ya, seperti aku sedang lakukan.
Bicara soal cinta.

Ada berkata, cinta itu membunuh.
Ada yang bilang, cinta itu indah.
Ada yang soal, cinta itu seronokkah?
Ada yang sayu berkata, cinta itu sedih.

Fitrah manusia, mahukan cinta.
Fitrah manusia, mahu memberi cinta.
Fitrah manusia, mahu menerima cinta.

Dalam kita leka bercinta, kita lupa akan adanya duka.
Jika kita tahu bagaimana untuk memberi dan menerima,
Dan bukan hanya seorang yang memberi,
cinta itu akan indah.
Yalah, bukankah perit dikatakan cinta hanya sebelah pihak?

Apa pun, cintailah maha esa.
Kerana dia tidak pernah kecewakan kita.
Dia sentiasa menemani kita.
Ingat pada kita, cuma kita yang selalu lupa padanya.
Dia sentiasa ada.

Bukan seperti manusia, datang dan pergi.
Ikut sesuka hati apa mahunya.

P/S: pernah rasa begitu?

31 July 2012

Impian



Assalamualaikum,

Kau tunduk memandang pasir hitam,
Ditemani cahaya terik menusuk kulit,
Bertambah lelah menimpa dibahumu.
Mampukah?

Kau lihat tangan,
Kau genggam rapat erat,
Kau bawakannya ke hati,
Berniat.

Kau lonjakkan tangan ke langit,
Kau campakkan apa di dalam genggaman itu,
Jauh ke pelusuk dunia, dibawa angin.
Dengan penuh berharap kau melihatnya pergi.

Kau melangkah pergi sambil berpaling.
"Moga aku mencapainya."

Love.

P/S: semoga apa kalian hajati tercapai.
Itu sepupu aku. sekian.

26 July 2012

Alam menangis


Assalamualaikum,

Jika pokok hutan rimbunan ditebangi,
kemana burung dan hidupan lain mahu pergi?
Jika sungai terusan terus dikotori,
kemana hidupan bawah air mahu berenang?
Jika udara kian kotor oleh asap hitam,
kemana lagi kita mahu pergi?

Dunia kini sudah uzur.
Menunggu saat untuk merapuh.
Manusia rakus merobek perut Bumi.
Punya waktukah anak-anak masa depan menikmatinya?
Atau bogelkah dunia dengan hanya kotak tinggi?

Kasihan sama bukit gunung yang kian miring.
Menunggu gelisah saat mahu dirungkai.
Cukuplah wahai manusia.
Tidakkah kamu dengar teriakannya?

P/S: alam

16 July 2012

Pendam


Assalamualaikum.


Kita bicara soal perasaan.

Kita cuba rungkaikan ia dalam hati.

Tetapi pengakhirannya kita gagal.

Terus pendam dalam hati.

Shhh...rahsia kau dengan aku saja ya, hati.

*****

Aku pasti setiap kita pernah alami perasaan begitu.

Bermula dari kawan ataupun orang luar baru kita kenali.

Bohonglah tiada ada apa-apa perasaan jika rapatnya luar biasa.

Bohonglah tiada rasa apa-apa jika ambil beratnya selalu.

Bohonglah tiada rasa apa-apa jika jenakanya pengubat duka.

Ada sesetengahnya pendam.

Rahsia seorang diri.

Ada sesetengahnya meluah terus.

Tidak mampu merahsiakannya.

Lain orang lain caranya.

Jika berani dan bersedia dengan jawapannya,

susun bait ayat dan luahkan.

Jika hanya mampu melihat dan memendam rasa,

lihat dan pendamlah.

Berapa lama mahu menyimpan rasa, terpulanglah.

Love.

P/S: Lamanya tak meluah rasa. huuu

06 July 2012

Kucupan sayang


Assalamualaikum,

Setiap pagi dikejutkan dengan ayam kokok tanpa lelah,
Sang suria baru ingin mencelik,
Bau air kopi kuih karipap bersantai,
Kau baru memisat mata,
Tersedar dari alam tidur,
Dikejut ibu untuk menimba ilmu,
Kau tidur, tapi dikejutkan lagi.

Ingatkah lagi saat kau ingin ke sekolah,
Tangan kasar berkerak seribu,
Memakir motor tua di satu sudut,
Melihat kau tenang masuk ke ruang perang ilmu.

Menunggu bilakah kucupan kasih sayang itu akan mendarat?
Berkalih kemudian dipegang tangan usangnya itu.
Lalu mengucup sayang.

Masa kecil, tangan ayah ibu kita kucup.
Apabila besar, tangan suami kita kucup.
Apabila tua, tangan kita mereka kucup.

Kucuplah tangan mereka,
Janganlah kau kucup tangan kekasih terlarangmu.

Love.

P/S: teringat zaman dulu peluk cium pipi tangan.
Hingga sekarang pun.

02 July 2012

Lemas


Assalamualaikum,

Lemas dalam apa tiada punca.
Lemas dalam apa punca.
Lemas berbaki dalam selut pekat lagi likat.
Lemas bebas dalam ramai.

Duduk satu sudut.
Gelap, sunyi, suram.
Hanya sipi cahaya memelukku.
Hanya aku dengan duniaku.

Kaki tidak lagi ditarik.
Tangan tidak lagi terikat.
Mata tidak lagi menari.
Mulut tidak lagi berbunyi.

Aku bebas tetapi menangis.

Love.

P/S: Kita cuma mahu waktu kita sendiri.

23 June 2012

Tua atau muda


Assalamualaikum,

Kita sering persoal tentang umur dalam sesuatu hubungan.

Ada yang mahu pasangannya lebih tua darinya.

Ada yang gemar muda darinya.

Umur pada aku hanyalah angka.

Allah tetapkan jodoh kita dengan sesiapa yang kita tidak duga.

Tua, muda, sebaya. Sesiapa saja.

Apabila soal umur dibangkitkan,
soal kematangan menjadi ukuran.

Kematangan tidak mengenal usia.

Ada saja yang muda tetapi pemikirannya, mengalahkan yang tua.

Mesti kalian ada menghadkan pemilihan umur dalam memilih pasangan, kan?

Kalau dapat muda setahun atau dua, bagaimana?

Jika tuanya, seperti bapa kamu bagaimana?

Wallahualam, hanya Allah yang mengaturnya.

Love.

P/S: Diluar pengetahuan kita semua ini.

16 June 2012

Dengar


Assalamualaikum,

Mendengar dan didengari.

Ada bedanya.

Mendengar adalah saat seseorang menceritakan sesuatu.

Didengari adalah tika kita menceritakan sesuatu.

Aku menjadi tempat curahan keluh kesah buat kawan-kawan.

Aku suka mendengar cerita dari rakan, lagi-lagi sahabat aku.

Jika mereka sedih, aku mahu ceriakan.

Alhamdulillah, aku berjaya melakukannya. *dari apa kata sahabat aku.

Jika ada berita gembira, aku yang menangis.

Cengeng kamu, biarlah!

Kadangkala, kita juga mahu suara hati kecil kita didengari.

*****
Pernah terjadi di mana kamu menghubungi rakan
untuk menceritakan sesuatu,
tetapi terbalik pula yang terjadi?

Aku rasa mesti pernahkan?

Apabila terjadi begitu, tentu kamu rasa kecewa.

Yalah, aku hubungi kamu untuk kamu dengar cerita aku.

Akhirnya, kerisauan aku tidak berundur.

Apa kamu lakukan jika begitu?

Love.

P/S: Aku, hanya terus mendengar dan lupakan kisah aku.

14 June 2012

Bila berkawan


Assalamualaikum,


Apabila berkawan, berkawanlah dengan ikhlas.

Apabila berkawan, berkawanlah dengan niat yang baik.

Apabila berkawan dengan berlainan jantina,
janganlah mudah jatuh perasaan.

Janganlah berharap tinggi.

Maksud berharap itu, berharap akan menjadi lebih dari kawan.

Pada aku, ini akan melibatkan perasaan.

Ia akan mengakibatkan satu perasaan yang kekok.

Dulu masing-masing boleh bergurau, kini tidak lagi.

Makin lama, jurang makin kelihatan.

Ada satu quote aku baca, jangan jatuh cinta dalam berkawan.

Kadangkala ia betul. Ada baik dan buruknya.

Terpulang pada masing-masing.

Ada yang berkawan dan akhirnya dia itu menjadi pasangan hidup.

Ada juga yang terputus sahabat.

Apa pun tanya pada hati.

Jika masing-masing suka sama suka, tidak ada salahnyakan?

P/S: Jangan berharap pada permulaan sesuatu persahabatan.

11 June 2012

Lelaki yang seksi adalah:

Assalamualaikum,

Lelaki yang seksi adalah lelaki yang:

1. Tidak segan peluk cium emak dan abahnya depan orang.
2. Tidak menghisap rokok.
3. Tidak memakai gelang, rantai atau subang.
4. Memakai jam tangan di kiri.
5. Memakai perfume HugoBoss, CK dan Polo.
6. Memakai kain pelekat.
7. Memakai kasut Converse.
8. Memakai baju warna hitam.
9. Menyukai kucing.
10. Membawa kereta manual.
11. Pergi sembahyang jumaat.
12. Puasa penuh.
13. Prihatin.
14. Pendengar yang baik.
15. Pandai buat pasangan ketawa.
16. Penasihat yang baik,
17. Suka makan sambal belacan.
18. Minum kopi panas.
19. Berkumis sejemput.
20. Bermain gitar.
21. Pandai mengaji Al-Quran.
22. Tahu memasak dan bukan hanya tahu makan.
23. Tahu mengemas rumah.
24. Tangan berurat.
25. Bukan sweet talker.
26. Berkuku pendek.
27. Menegur untuk kebaikan.
28. Menghormati ibu bapanya.
29. Menghormati batasan agama.
30. Tidak memaksa-maksa.
31. Tidak mengangkat tangan pada perempuan.
32. Tidak bercakap kosong/besar.
33. Mengambil berat pada pasangan.
34. Romantis.
35. Lelaki yang duduk tidak kepit.
36. Tidak lupa untuk solat walaupun keluar berjalan-jalan.
37. Tangan berseni.
38. Tangan tidak merayap-rayap.
39. Tahu bertukang.
40. ........................................ ( isi sendiri)

Ini hanya pada pengamatan aku.
Kamu semua isilah apa yang kamu rasa seorang lelaki itu seksi.

Seksi pada kamu lebih kepada luaran atau perwatakannya?

Aku lebih suka kepada perwatakan dan bukan pada rupa.
Pada aku, seksi bila ada ketetapan dan sedia untuk berkeluarga.
Dan sukakan kanak-kanak.
Dan meletakkan agama di atas.

Aku tidak suka Christiano Ronaldo. Motiff??

P/S: senarai di atas ada dalam pasangan kamu?
Tak ada gambar sebab tak tahu nak letak siapa.

07 June 2012

Siapa kamu dimata dia

Assalamualaikum,

Kini kamu tahu dimana kedudukan kamu

Kamu sudah mengagak ia akan menjadi seperti ini.

Dari awal lagi kamu sudah bersedia.

Kenapa?

Kerana kamu pasti ia akan terjadi.

Terima kasih atas masa terluang yang diberikan.

Kamu tersenyum bila mengenangkan saat itu.

Terima kasih mengindahkan hari kamu walau sebentar cuma.

Kamu menghargainya. Sangat menghargainya.

Walauapapun kamu mendoakan yang baik-baik saja.

Kamu pernah alami kejadian ini?

Kamu impikan semuanya berlangsung dengan senada.

Tampak bosan, tetapi huru-hara kan lebih serabut.

Tapi apakan daya.

Semua perkara kita tidak boleh kawal.

Jalannya, melepaskan dengan rela.

Live your life happily guys.
You're going to feel a lot better.
Trust yourself and Allah SWT.

*****
Cerita ini aku coretkan berdasarkan pengamatan keadaan
berlaku dikeliling aku. Tiada kaitan dengan sesiapa.
Imaginasi aku ini kadang kadang melebih.
Ohya, melalui drama yang bergerak di depan ku.

P/S: cuba bacanya dengan tukarkan 'Kamu' kepada 'Aku'

30 May 2012

Aku sakit

Assalamualaikum,

Kesihatan aku tidak mengizinkan aku duduk lama.

Aku juga kini sibuk dengan kerja.

Kesihatan juga membataskan aku melakukan kerja.

Hidup aku kini ditemani ubat.

Aku tidak gemar makan ubat.

Tetapi untuk sihat aku telan juga.

Jaga kesihatan diri ya sayang-sayangku.

Makan ubat dan pantang apa yang perlu.

Love.

P/S: sangat letih.

22 May 2012

Just say it, i can handle it


Assalamualaikum,

Terlalu mencuba.

Mencuba dan terus mencuba sehingga tiada daya.

Tetapi aku akan mencuba sehingga kata berhenti tidak dituturkan.

Sehingga itu aku akan cuba.

Dalam percintaan mahu apa saja.

Mencuba terlalu teruk ini sakit sebenarnya.

Lagi-lagi dalam soalnya cinta.

Menjaga hati, mengelak bosan.

Tetapi kadangkala ia tidak mencukupi.

Ada lagi yang kurang. Ada lagi yang suram.

Tolong kata berhenti pada aku supaya aku boleh tenang.

Sehabis daya aku cuba pertahan.

Jangan sehingga sampai suatu ketika,

aku sudah tidak peduli.

Tetapi manakan pernah orang pedulikan?

'I'll not get tired because of trying,
unless you want me to stop. Then i'll stop.'
-BugLove-


Love.

P/S: general talk.

17 May 2012

Sibuk


Assalamualaikum,


Kita ini terlalu meneliti tugasan.

Berhari-hari malah bertahun-tahun.

Selelah mana kita, kita perlu juga menyua muka padanya.

Sehingga kita lupa pada mereka yang dikasihi.

Keluarga, cinta hati, sahabat atau siapa saja.

*******

Pesanku,

Jika kita terlalu mengejar sibuk yang tiada hentinya,

kita akan kehilangan mereka yang sibuk menunggu kamu.

Menunggu khabar berita darimu.

Walau hanya sekadar Assalamualaikum, sihat?

Itu sudah cukup tandanya kamu ingat.

Ingat akan kewujudannya orang itu.

Jangan biarkan orang ternanti-nanti.

Nanti orang yang dinanti itu pergi meninggalkan kamu selamanya.

Ingat,

walau hanya sekadar 'Hi',

ia boleh mengubah hari orang yang kamu sayangi.

Semangat yang hilang boleh menimbun kuat kembali.

Seperti akar pokok yang terpaut kuat pada tanah.

Percayalah.

Love.

P/S: maaflah dengan jari kontot bambam tu.

10 May 2012

Jerih


Assalamualaikum,


Peluh membasahi dahi.

Penampung badan berkerak kering.

Urat dawai berakar timbul.

Hati lembut sekeras kerikil.

Meniti hari terik akan datang.

Asap kepul meresap dada.

Bercanda buang gundah.

Berkerut dahi mencoret hari mendatang.

Niat hati ikhlas.

Berdoa tidak putus menanti sinar mentari indah.

Biar panas mencucuk kepala.

Janji kegembiraan dan lapang dada diimpikan.

Sesuap nasi mulut menanti.

Love.

P/S: kagum pada mereka yang pekerjaannya sungguh menguji.

05 May 2012

Tanya pada air mata


Assalamualaikum,

Wahai air mata,

mengapa mengalir saat aku tidak mahu ia jatuh.

mengapa mengalir saat aku menahan keras.

mengapa mengalir saat aku tidak mahu diberi simpati.

Wahai air mata,

aku bertanya pada kamu, berbaloikah?

Berteriakan perit seperti tiada pelangi esok hari?

Kasihan kau air mata.

Cukuplah.

Cukuplah hanya kau menangis dalam hati.

Love.

P/S: menangis letih. udah-udah le yong.

29 April 2012

Hargai aku


Assalamualaikum,


Pernah lakukan sesuatu tetapi cuma dipandang sepi, dibuang layu?

Perit bukan apabila diperlakukan begitu.

Lebih-lebih lagi jika diri kamu bukan siapa-siapa.

Segala usaha kamu terus ditolak rakus tanpa periksa.

Sama ada dalam kerja, cinta, sahabat kalian.

Hargailah diri mereka.

Hargailah kerendahan hati, keluhuran, kesungguhan mereka.

Kadang kala ia bukan untuk dipuji, cuma ingin rasa dihargai.

Terus memberi segar, senyum dan bahagia.

*****
Dalam perihal cinta, hargailah apa yang pasangan kamu lakukan.

Mereka merendahkan ego, amarah untuk berbaik.

Mereka bersungguh dalam menawan hati.

Tetapi, pada yang bersungguh itu janganlah dipermulaan saja.

Teruskan kesungguhan menyintai pasangan kalian.

Bak kata seseorang, usaha menyemarakkan rasa kasih.

Itukan lebih indah.

Menghargai antara satu sama lain.

'Orang itu ada bersama kamu.
Cuma kamu menutup mata saat keberadaannya didepan mata kamu.
Dicubanya menyapa kamu, kamu tepis.
Susah dicari, senang dipinggir.
Dipintanya hanya untuk dihargai.'
-LoveBug-

Love.

P/S: hargai diri sendiri dan hargai mereka dikeliling kamu.

27 April 2012

Katak

Assalamualaikum,

Motif, tiada apa.

Cuma, comel.

Realitinya, basah, lembap, melekit.

Itu sangat geli.

Hell, no.

Love.

P/S: untuk aida omar, asma liyana dan penggemar katak sedunia.

25 April 2012

Ibadat

Assalamualaikum,

Kaki ini akan melangkah mengerjakannya.

Mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.

Walaupun masanya singkat, tetapi intipatinya yang dititikberatkan.

Kita telah meluangkan masa lama untuk melakukan kerja.

Tiba masanya untuk kita beribadat, menyucikan diri.

Bagi yang berkemampuan, luangkanlah masa melakukannya.

Carilah masa untuk menunaikannya.

Langkah kaki yang mengimbas kembali masa sukar.

Langkah yang penuh ranjau suatu ketika dulu.

Memberi kesedaran betapa kerdilnya kita di muka bumi sementara ini.

Moga kita diberi kesempatan untuk melakukannya.

Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Love.

P/S: Mari kita kumpul wang ya.

20 April 2012

Hari-hari bertemu

Assalamualaikum,

Hai matahari terbenam.

Dari dalam sangkar memandang penuh minat.

Ingin memeluknya, 'ahh kau tahu tidak mungkin'.

Tidak berkelip mata memandang hasil ciptaan Maha Esa.

Satu perkara yang membuatkan aku leka, terpana.

Dan yang penting tersenyum.

Ada yang berkata, matahari terbenam itu suram.

Sesuai pada jiwa yang sedang muram.

Jiwa yang sedang menangis deras, retak seribu.

Pedulilah pada semua itu.

Matahari terbenam tetap dihati aku.

Tidak kira pada segala macam perasaan aku.

Sentiasa menemani hari-hari aku.

Memandang senyum hingga malunya matahari.

Berlari meninggalkan aku.

Menanti bulan dan bintang malam harinya.

Menunggu datangnya pada esok hari.

Lebih indah jika melihatnya bersama orang tersayangkan kan kan?

Love.

P/S: Jom lihat matahari terbenam.

16 April 2012

Pergi dan kembali

Assalamualaikum,

Akan jejak lagi ke tempat ini.

Satunya untuk merelakan.

Satunya untuk menyambut.

*****
Saat awalnya semua baik saja.

Gembira, gelak ketawa.

Saat masanya semakin hampir, hati gundah.

Menangis, hilang semua ceria.

Melepaskan dengan rela.

Melihat dengan berat hati.

Memanggil tetapi tidak didengari.

Ya, akan berlaku lagi situasi ini.

Dan aku cukup benci dengan keadaan ini.

Melihat orang lain menangis, aku juga akan menangis.

Love.

P/S: moga pemergian dan kepulangan baik-baik saja.

11 April 2012

Untuk kamu

Assalamualaikum,

Tidak tahu mahu menulis apa.

Bunga ini buat kamu.

Moga ceria di hari-hari yang mendatang.

Salam sayang.

wish:

“I want you to love me. I want you to trust me enough to let me love you,
and I want you to stay here with me so we can build a life together. That's what I want”
Francine Rivers, Redeeming Love

Moga segala impian kalian bersama yang tersayang tercapai.

Amin, Ya Rabb.

Love.

P/S: berserah.

08 April 2012

Tekanan


Assalamualaikum,


Hidup mana pernah lari dari tekanan.

Kita lari ia kejar. Setiap masa menghantui.

Dan setiap orang punya cara untuk tidak fikirkannya.

Saban hari kita disogok dengan cerita tekanan.

Mahu lari dari masalah, silakan.

Cumanya, jangan lari dengan cara menunjukkan akal fikiran

lebih kering dari tanah yang merekah dek panas membahang.

Cetek sungguh pemikiran.

Tetapi fikirlah, kita di dunia hasil anugerah tuhan.

Fikirkan orang lain sebelum melakukan kerja bodoh.

Dalam hati,

"Mengapa aku dahulukan orang lain,
sedangkan diri aku merana?"

Cut the crap, ya.

Kau buat sesuatu yang bodoh, terus kau susahkan orang lain.

Susahkan hati mereka.

Usah pandang lebih jauh. Lihat saja orang terdekat.

Emak kau meneran peluh perit beranakkan kau.

Jangan nak beri ayat klise, "Tak minta lahir kedunia."

Apa yang termaktub itulah hukumnya.

Akal ada tuhan sudah beri, jangan disiakan.

Tekanan tidak akan pergi, ia akan menghantui.

Cuma cara yang betul buatkan tekanan kau pergi.

Jangan pula kau yang jadi hantunya.

Love.

P/S: pesanan untuk diri sendiri juga.

05 April 2012

Berharta

Assalamualaikum,

Dunia sekarang kini berubah.

Mahu mengejar kereta besar, wang besar, pangkat, pujian gunung.

Dengan cara yang baik mahupun buruk mengejarnya.

Berharta bukan bermakna tidak bagus.

Cuma ada kesan hitamnya juga.

Berharta untuk diri sendiri itu buruk lakunya.

Punya wang, pangkat dan segala macam orang akan dekat pada kita.

Yalah, apabila berharta semua pandang.

Semua kipas seperti masak rentungnya ayam satay.

Berharta untuk membantu orang kurang mampu lebih bagus.

Mereka yang tidak berharta, hurmm.

Disisihkan kerana harta sungguh menyedihkan.

Menyumbanglah walaupun sedikit.

Ia membantu memberi sinar harapan pada yang lain.

Love.

P/S: lagi lama kita tinggi lama kita lupa dibawah.

Followers